Aku pencinta kucing. Aku geram dengan kecomelan keletah mereka. Aku geram dengan gebunya bulu mereka. Aku gerammm....
Kegeraman aku ini di hidu oleh teman sekerjaku. Oleh itu temanku ini ku panggil Nana berbesar hati memberiku 5 ekor anak kucing yang ditinggalkan di hadapan klinik veterinar tempat kerjanya. 2 ekornya telah pergi sebelum aku sempat mengambilnya. Adikku Ina menemaniku mengambil kucing-kucing itu di rumah Nana di Ipoh. Akhirnya 3 ekor anak kucing ini berada di genggamanku. Hasil ajaran Nana, membela anak kucing yang masih kecil sepertinya menjaga bayi.. Perlu disusukan setiap 3 jam , perlu di buangkan air besarnya , perlu di perhatikan setiap perubahan badannya.
Anak-anak kucing ini di besarkan tanpa susu ibunya, sedari lahir minum susu tin. Badan mereka tumbesarannya seakan tidak normal. Segala-galanya kecil walaupun umur mereka sudah hampir sebulan.
Seminggu aku menjaga bagai menatang minyak yang penuh. Setiap 3 jam kucing ini akan mengiau ingin disusukan . Aku kagum sememangnya tepat 3 jam mereka mula lapar. Hari Khamisnya aku perlu bergerak ke Taiping kerana ada program di Sekolah menengahku dan keputusanku sememangnya ingin membawa ketiga-tiga kucing ini bersamaku memandangkan penjagaan yang rapi amat perlu untuk kucing-kucing istimewa ini. Tengah hari itu aku keluar menemani kakak iparku ke pekan, kucingku kubiarkan di rumah abangku di Kajang.
Pulang sahaja dari pekan, dari jauh ku dengar kucingku sudah mengiau. Tetapi kedengaran satu suara sahaja. Aku lantas bergegas membuat susu dan memberi mereka minum. 2 ekor kucing yang berwarna oren dan hitam belang sepertinya tidak bermaya sewaktu aku mengangkatnya. Aku mengangkat kesemuanya dan memasukkan ke dalam kotak. Kucing oren itu sepertinya tidak bernyawa lagi dan aku terus meletakkan di atas kandang dan memesan kakak iparku untuk tolong tanamkannya. Aku kaget.Tanpa membuang masa aku bergegas menekan enjin kereta myviku menuju ke klinik veterinar di UPM. Setibanya di parking aku lihat jam menunjukkan pukul 5.05 petang dan perkhidmatannya hanya sehingga pukul 5 petang.Aku menatap kucing hitam belangku yang sepertinya sudah menghembuskan nafas yang terakhir. Nafas itu kedengaran panjang dan sayu. Mataku berkaca. Seekor sahaja yang masih bernyawa di dalam kotak itu mencium adiknya yang sudah tidak bernafas itu.
Aku terus pulang ke rumah kakakku di Puchong. Menyiapkan pakaian dan barang-barang seterusnya bergerak ke Kepong untuk bermalam di rumah rakanku Uena. Kemudian keesokan paginya kami teruskan perjalanan ke Taiping bersama KOTAK OREN . Hanya seekor sahaja yang berada dalam kotak oren itu. Pasti janggal dengan ketiadaan yang lainnya. Sambil menyaksikan perlawanan bola keranjang kotak oren ini setia di sisi. Pekikan dan riuhan suasana langsung tidak mengganggu lenanya si comel. Yang pasti setiap 3 jam perlu menyusukannya.
Memandangkan KOTAK OREN itu merupakan kotak kasut asadi. Keberadaan kucing comel ini tidak di ketahui ramai orang di sana. Pasukan bola keranjang sekolah yang mengetahuinya menamakannya 'Joyah '. Joyah kelihatan sihat dan selera minum susu.
Setelah beberapa hari di Taiping. Kami berputus untuk pulang pada hari Ahadnya. Jam 11 pagi kami bertolak bersama Mira yang datang lewat sehari dari kami. Menurut perancangan awal kami sememangnya akan singgah di kampung Uena di Kuala Kangsar untuk menghantar baju.
Pagi Ahad itu, Joyah tak minum banyak. Tak seperti selalu. Dan baru ku sedar ada kembung di badannya dan bila di tegur Uena bulu di bahagian tangannya seperti kekuningan dan berwarna kusam dan ada kesan seperti lebam. Tengah hari itu, sewaktu di kampung Uena, Joyah kencing dengan banyaknya dan kembung di perutnya hilang. Joyah kelihatan sangat kurus dan tidak bermaya. Sepertinya keadaan Joyah sama seperti adik-beradiknya yang lain sewaktu nafas terakhir mereka. Empangan mataku hampir pecah. Memandangkan berada di rumah orang, aku bergegas keluar duduk di kereta dan menangis sepuasnya kerana tidak mahu disoal yang lain.
Uena sepertinya membaca fikiranku yang sebenarnya menunggu sahaja dengan redha. Dia terus berkeputusan untuk memberitahu pak cik dan makciknya untuk bergerak dahulu walaupun perbincangan bersama keluarganya belum berakhir. Kami bergegas pulang menuju ke selatan di pandu oleh Uena. Joyah masih bernafas aku memegang Joyah dan meletakkannya di pangkuan ku. Degupan jantungnya jelas melalui deria rasa tanganku.
Degupannya perlahan dan kuat seakan 3 saat untuk satu degupan. Sepertinya dia bertarung untuk bernafas dan terus hidup. Kuat sungguh kucing comel ini. Dari pukul 7 petang sehingga pukul 9 malam kami berlegar di bandar Ipoh mencari kedai veterinar yang buka di hari Ahad. Sememangnya sukar sehinggakan aku bersuara dalam kesuraman itu 'Uena jom gerak ke KL'. Nafas kucing digenggamanku ini masih kedengaran.. nafasnya semakin kuat.. Tepat jam 9.23 malam terpapar di keretaku...Aku merasakan nafas terakhir itu ... yang panjang.. dan yang kuat... Aku memberi isyarat pada Uena pemergian Joyah. Mira turut terdiam melihat drama itu. Dalam kegelapan malam dengan pantulan cahaya lampu kereta di jalanan aku melihat titisan air mata itu. Menitis laju membasahi tudung labuhnya. Aku meletakkan Joyah di dalam KOTAK OREN itu semula.
Seharian selepas itu aku rasa kekurangan. Rasa kekosongan kerana sudah biasa dengan suara ngiauan anak-anak kucing istimewa ini. Mereka sememangnya seperti mempunyai penyakit virus yang tidak dapat di kenalpasti kerana ketiadaan ibu mereka.
Kucing-kucing ini sememangnya memberi warna dalam hidupku. Pengalaman bersama mereka memberi banyak iktibar yang tak dapat di ungkapkan dengan kata-kata. Hey kucing-kucing comel damailah dikau di sana. Akan terpahat sentiasa memori bersamamu. KOTAK OREN.
No comments:
Post a Comment